Tentang JMD

Sejarah JMD


Sharifah Aishah, sebuah nama yang pernah mekar di sekitar Rengit, Johor. Antara yang menjadi idola wanita-wanita ketika itu, apatah lagi mata lelaki yang tidak lekang memandang kecantikannya namun Sharifah Aishah tidak kedekut berkongsi rahsia amalan untuk tampil menawan terutama di depan suami.

 

Kepada wanita setempat yang kemudiannya menular ke luar Rengit, Sharifah Aishah memperkenalkan amalan memakan jamu yang diperbuat daripada tumbuhan herba yang subur di dalam hutan sekeliling. Ramuan unik dan istimewa dihasilkan wanita berdarah Arab dan Indonesia ini kemudiannya diwarisi dari satu generasi ke generasi.

 

Ramuan asli Sharifah Aishah itu masih dipegang erat oleh salah seorang warisnya, Puan Kamariah Haji Latiff yang mengembangkan lagi kebaikan amalan jamu kepada lebih ramai wanita. Dikenali sebagai Mak Dara dalam kalangan masyarakat setempat, penampilannya yang sentiasa cantik anggun pada usia 40-an dan mempunyai sepasang cahayamata, dipuji ramai.

Legasi Sharifah Aishah diteruskan oleh Puan Halimah Shuib, puteri kepada Mak Dara. Lebih mesra dipanggil Ibu Halimah, beliau mewarisi kebaikan jamu buatan ibunya dengan mengamalkan seawal usia remaja dan membuktikan keberkesanan rahsia pembuatan jamu tersebut. Bukan sekadar mengamal, Ibu Halimah memperincikan lagi ramuan-ramuan dengan formulasi terkini untuk menambahbaik kualiti Jamu Mak Dara.

 

Menyedari pentingnya ilmu penjagaan kesihatan terutama untuk wanita, Ibu Halimah yang dibantu anaknya, Syed Muhammad Gadaffi Syed Ali mendekatkan Jamu Mak Dara kepada masyarakat melalui penubuhan syarikat Yaabib.com. Bermulalah era komersil Jamu Mak Dara sebagaimana yang dilihat hari ini.

 

Selepas hampir 10 tahun, jenama Jamu Mak Dara bukan asing lagi di Malaysia, Brunei dan Singapura malah pernah dibawa ke Timur Tengah dan China. Daripada jamu dalam bentuk serbuk, kini kepelbagaian produk penjagaan diri dalaman dan luaran dihasilkan dengan berasaskan herba semulajadi termasuk Set Bersalin Ibu Halimah.

Formulasi lama berganding bahu dengan teknologi hari ini menghasilkan Jamu Mak Dara yang lebih baik dari pelbagai aspek kebaikan terutama kesihatan dalaman dan luaran pengamalnya. Resepi Mak Dara yang diperturunkan kepada Ibu Halimah telah dikongsikan puluhan ribu pengguna setia Jamu Mak Dara sejak mula dikomersilkan 10 tahun lalu.

 

Ibu Halimah bagai bukti keberkesanan kebaikan Jamu Mak Dara selepas diamalkan sejak remaja hingga kini. Pinggang ramping dan sentiasa cergas pada usia 74 tahun menjelaskan yang Ibu Halimah sangat menitikberatkan penjagaan hingga pernah menyandang gelaran Ratu Kebaya sebanyak 12 kali yang diadakan di sekitar Johor. Ibu Halimah seorang personaliti yang sangat disegani di Malaysia dan Indonesia kerana penglibatan aktif beliau dalam setiap program dan seminar yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan dalaman wanita.

 

Selain kejayaan besar mengeluarkan produk di atas jenama Jamu Mak Dara, Ibu Halimah turut menghasilkan karya penulisan sulungnya iaitu Buku Masakan Ibu Halimah yang memuatkan resepi tradisi keluarga beliau untuk manfaat generasi moden amalkan serta mengetahui khasiat dan nutrisi yang terkandung dalam masakan terdahulu terutamanya wanita selepas bersalin. Ini diikuti dengan penerbitan Buku Petua Mak Dara, Cara Mudah Membuat Kek, Cara Membuat Kek Fondant, Air Tangan Mak Dara dan Kisah Hidup Ibu Halimah.